Kehadiran
Bertugas:
1. Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/81 yang bertarikh 12 September
1981 menyebut bahawa semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kakitangan sekolah
dan para pelajar dikehendaki berada di sekolah sekurang-kurangnya lima minit
sebelum sekolah bermula. Bagaimanapun, guru bertugas harian perlu hadir di
sekolah kira-kira pukul 7.00 pagi.
2. Adalah menjadi tanggungjawab para guru untuk mengamalkan ketepatan masa itu
sepanjang waktu bertugas di sekolah, semasa datang dan balik dari sekolah,
ketika memasuki bilik darjah untuk mengajar dan masa menjalankan sesuatu
kegiatan di luar bilik darjah.
3. Ketepatan masa juga bermakna seseorang guru hendaklah mengikut jadual
pengajaran dan tidak dibenarkan meninggalkan kelasnya atau pun kawasan sekolah.
4. Peraturan ketepatan masa dikenakan kepada semua guru, kakitangan dan para
pelajar.
Kepatuhan Tugas:
1. Semua guru dan kakitangan hendaklah menandatangani buku kedatangan sebaik
sahaja tiba di sekolah dengan mencatatkan nama, masa sampai dan menurunkan tanda
tangan.
2. Guru dan kakitangan tidak dibenar meninggalkan kawasan sekolah dengan tidak
mendapat keizinan Guru Besar terlebih dahulu.
3. Mereka yang datang lewat hendaklah berjumpa dengan Guru Besar dengan memberi
sebab musabab kelewatan itu.
4. Sekiranya tidak dapat menghadirkan diri di sekolah kerana kecemasan atau
jatuh sakit dan kemalangan, mereka perlu menghubungi pihak sekolah. Mereka juga
dikehendaki mengemukakan sijil sakit kepada Guru Besar apabila kembali bertugas
semula.
5. Guru-guru tidak dibenarkan meninggalkan bilik darjah semasa mengajar kecuali
dengan mendapat kebenaran daripada Guru Besar terlebih dahulu.
6. Kehadiran semua guru adalah wajib semasa kegiatan dan upacara rasmi sekolah
seperti Hari Sukan Tahunan, Hari Penyampaian Hadiah, Mesyuarat Agung Persatuan
Ibu Bapa Guru untuk mengawasi para pelajar, melaksanakan tugas yang
dipertang-gungjawabkan di samping memberi sumbangan bakti dan bantuan yang
diperlukan bagi menjayakan upacara tersebut.
7. Para guru yang telah ditetapkan untuk mengawasi kegiatan ko-kurikulum, mesti
menghadirkan diri. Sebarang kesulitan yang berbangkit disebabkan oleh ketiadaan
guru pengawas adalah tanggungjawab guru itu sendiri.
Tugas Akademik
Guru:
1. Guru hendaklah menunjukkan sikap profesional dan budaya kerja yang bermutu
tinggi.
2. Kerja rumah hendaklah diberikan kepada pelajar berdasarkan garis panduan yang
diberikan oleh Guru Besar atau guru kanan masing-masing. Semua kerja rumah
hendaklah diperiksa dengan teliti.
3. Ketua jabatan atau guru kanan mata pelajaran diberi kuasa untuk menyemak dan
menentukan bahawa buku rampaian, buku kerja dan lain-lain latihan diperiksa
dengan penuh teliti.
4. Pemeriksaan buku tidak boleh dilakukan semasa mengajar di dalam kelas kecuali
guru itu mengawasi kerja pelajar di meja pelajar itu sendiri.
5. Guru yang ditugaskan sebagai guru ganti hendaklah mengisi waktu itu dengan
pelajaran yang difikirkan perlu dan ini merupakan juga tugas rasmi guru itu.
Pengajaran itu mesti diisikan dengan kerja-kerja yang memberi faedah kepada
pelajar.
6. Biasanya guru mempunyai waktu untuk mengajar sebagaimana yang ditetapkan
dalam jadual waktu masing-masing. Waktu tidak mengajar, terluang/rehat di
sekolah adalah dikira masa bekerja. Guru Besar boleh mengarahkan guru-guru
menggunakan masa itu untuk menggantikan guru yang tidak hadir.
7. Mereka perlu membuat persediaan mengajar seperti membaca buku tambahan,
menulis buku ringkasan mengajar, menyediakan alat bantuan mengajar dan memeriksa
buku latihan pelajar.
8. Mereka juga boleh mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar yang
bermasalah. Mereka juga boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dan
lain-lain tugas yang difikirkan perlu atau diarahkan oleh pihak sekolah.
Buku Ringkasan
Mengajar:
1. Kementerian Pendidikan telah menetapkan peraturan mengenai pengisian Buku
Rekod Mengajar. Peraturan ini hendaklah dipatuhi dan dilaksanakan dengan
sepenuhnya.
2. Dalam Buku Rekod Mengajar itu mesti mengandungi salinan jadual waktu
persendirian termasuk analisisnya, salinan sukatan pelajaran, salinan kertas
soalan peperiksaan dan keputusan peperiksaan bagi tiap-tiap kelas yang diajar
oleh guru itu.
3. Pada tiap-tiap hari hujung minggu, Buku Rekod Mengajar yang telah siap diisi
untuk minggu berikutnya hendaklah diserahkan kepada Guru Besar. Buku Rekod
Mengajar adalah menjadi hak milik sekolah dan perlu diserahkan ke pejabat
apabila guru itu bertukar, bercuti panjang dan juga pada akhir tahun sekiranya
Guru Besar memerlukan agar dia berbuat demikian.
Perhubungan Guru
Dengan Pelajar:
1. Guru perlu mempunyai hubungan mesra dengan semua pelajar dan sentiasa bermuka
manis. Mereka perlu memahami masalah pelajar.
2. Disiplin pelajar adalah menjadi tanggungjawab semua guru. Tindakan segera
perlulah diambil terhadap sebarang pelanggaran disiplin yang dilakukan oleh
pelajar. Kes-kes pelanggaran disiplin yang serius hendaklah dilaporkan kepada
Guru Besar atau guru disiplin.
3. Tiap-tiap guru adalah bertanggungjawab untuk memelihara dan mengekalkan
disiplin. Kesalahan yang berat sahaja hendaklah dilaporkan kepada Guru Besar
untuk mendapat keputusan bagi pelaksanaan yang berkesan.
4. Perkara-perkara tatatertib yang dianggap berat adalah seperti menganggotai
pertubuhan haram, membawa senjata merbahaya dengan tujuan jahat, memukul guru,
mengancam keselamatan orang lain serta melanggar peraturan sekolah. Pelajar juga
dilarang menulis kepada akhbar tanpa memberitahu pihak sekolah, merosakkan harta
sendiri, guru, pelajar, dan sekolah, mencuri, menghisap rokok dan mengambil
dadah, berjudi, meminum minuman keras dalam kawasan sekolah, membantah hukuman
guru, bersifat bongkak dan menghina guru atau Guru Besar.
5. Guru yang mengajar dalam kelas hendaklah mengawal disiplin
pelajar-pelajarnya.
6. Para guru hendaklah menunjukkan teladan, sikap dan perwatakan yang sesuai
untuk dihormati dan dipandang tinggi oleh pelajar.
7. Jika terdapat pelajarnya yang sakit atau ditimpa kemalangan, guru tersebut
hendaklah melaporkannya kepada guru bertugas harian atau penolong kanan dengan
segera.
Pakaian:
1. Guru hendaklah kelihatan kemas dengan memakai pakaian yang sesuai semasa
bertugas di sekolah.
2. Mereka tidak dibenarkan memakai selipar dan baju T walaupun pada waktu petang
semasa berada di sekolah.
3. Pakaian formal mesti dipakai semasa upacara rasmi sekolah.
Potongan Rambut:
1. Potongan rambut tidak boleh melebihi kolar baju bagi guru lelaki. Rambut
perlu diurus dan kelihatan kemas.
Pelawat:
1. Jangan benarkan pelawat termasuk jurujual berjumpa dengan pelajar di dalam
bilik darjah atau makmal.
2. Pelawat atau jurujual hanya boleh berjumpa dengan guru sekiranya mereka
mendapat kebenaran daripada Guru Besar terlebih dulu.
3. Perbincangan antara pelajar dan guru dengan pelawat atau jurujual hanya boleh
dibuat di dalam bilik guru sahaja.
Kenyataan Akhbar:
1. Guru adalah dilarang daripada membuat kenyataan akhbar walaupun bertindak
atas nama Guru Besar atau pihak sekolah.
Surat Rasmi:
1. Semua surat rasmi yang hendak dihantar keluar dari sekolah sama ada dari guru
atau dari persatuan dan kelas hendaklah dikirim melalui Guru Besar.
Lawatan:
1. Sebarang lawatan yang dilakukan oleh persatuan dan kelab hendaklah terlebih
dahulu mendapat kebenaran daripada Guru Besar dan Jabatan Pendidikan Negeri.
2. Untuk lawatan ke luar negeri, borang permohonan hendaklah dikirim ke Jabatan
Pendidikan Negeri melalui Guru Besar. Surat itu mesti dikirim sekurang-kurangnya
lima minggu sebelum lawatan dilakukan.
Kutipan Wang:
1. Guru penasihat yang dilantik untuk mengawas perjalanan persatuan dan kelab
perlu mengawasi hal ini.
2. Mereka perlu menentukan bahawa wang yang dipungut itu tidak disalahgunakan
oleh persatuan dan kelab.
Pembukaan akaun bank adalah perlu jika wang yang berkenaan itu dianggap besar
jumlahnya.